Wan Ahmad Tarmizi Hj Wan Daud

Wan Ahmad Tarmizi Hj Wan Daud

SEMBELIHAN KORBAN

KATA-KATA ALUAN PENULIS


Assalamualaikum warahmatulllahi wabarakatuh…



Bersyukur saya kehadrat Allah swt.kerana dengan Izin dan InayahNya, saya dapat mempromosikan beberapa artikel dan rencana saya menerusi gcpismtkk.blogspot.com ini. Tahniah juga kepada semua pembaca yang secara sengaja atau tidak melayari blog keramat ini.


Laman web atau blogger adalah laman baru yang bebas daripada kawalan atau selian pihak-pihak yang berkenaan. Penulis juga, dengan kehendak dan niatnya yang tersendiri, boleh secara bebas mengutarakan apa yang difikir dan dikehendakinya. Walaupun begitu reality dan fantasinya, maka penulis akan berusaha mengubah minda pembaca agar dapat mengambil beberapa manafaat…daripada gcpismtkk.blogspot.com ini



Sekian terima kasih.

WAN AHMAD TARMIZI HJ WAN DAUD


20 Oktober 2009



Sunday, September 27, 2009

UMAT ISLAM WAJIB CIPTA KEKUATAN RAHSIA ILMU

Umat Islam dituntut cipta kekuatan, bongkar rahsia ilmu

KEJAYAAN diharapkan dalam setiap perkara yang dilakukan. Namun, kejayaan bukan terjamin setiap masa, tetapi setiap orang akan berusaha mencapainya.
Dalam dunia penuh persaingan ini, mencapai kejayaan setiap masa bukan sesuatu yang mudah. Hanya mereka yang berkemahuan tinggi dan sedia berusaha gigih akan mengecapi kejayaan.

Mereka yang masih mencari apa yang diingini dan berfikir antara mahu atau tidak, pasti akan ketinggalan jauh di belakang.

Sikap sebegini walaupun diakui merugikan, masih menjadi pegangan sebahagian besar ahli masyarakat Islam. Jika tidak, masakan pemimpin negara mahupun cendekiawan terus menyeru umat Islam berubah demi meletakkannya sebaris umat agama lain yang sedang mengecap manisnya kejayaan itu.

Kejayaan yang dimaksudkan di sini, boleh mempunyai makna luas. Begitu pun, kejayaan yang lebih khusus, merujuk kepada kejayaan membongkar rahsia ilmu, mencipta kekuatan ekonomi dan membentuk satu bangsa (atau agama) yang disegani serta mempunyai 'suara' di persada politik antarabangsa.

Bagaimanapun, setakat ini di manakah kedudukan kita? Kenapakah sikap masyarakat Islam kini masih lagi belum mampu melonjakkan mereka menjadi masyarakat hebat dan disegani?

Kita boleh saja meletakkan sebab tertentu kenapa kelemahan itu berlaku. Kita boleh menyalahkan orang lain atau pemerintah, sistem sedia ada mahupun nasib. Namun, titik tolak kepada kelemahan ini adalah umat Islam sendiri. Kita mudah berpuas hati dengan apa yang ada dan mengejar kesederhanaan tanpa sebab.

Memanglah orang Islam dituntut untuk bersyukur dengan apa yang ada dan mementingkan kesederhanaan. Namun, kerap kesyukuran dan kesederhaan itu diletakkan pada tempat yang salah. Kita bersederhana dalam mencari ilmu, bersyukur dengan 'rezeki secupak' dan berpuas hati dengan kedudukan atau gelaran, sedangkan Islam menuntut kita menjadi umat yang mencipta dan menguasai, bukannya sekadar menjadi pengguna semata-mata.

Agama Islam adalah agama kejayaan. ‘Marilah menuju kejayaan’ dilaungkan sebanyak 10 kali setiap hari kepada seluruh umat Islam demi mengingatkan kita betapa pentingnya kejayaan itu. Pastinya, seruan kejayaan ini meliputi kejayaan di dunia mahupun akhirat.

Oleh itu, kita tidak mempunyai pilihan. Kita tidak boleh memilih hanya kejayaan dunia dan menolak akhirat atau menolak dunia dan mengejar akhirat saja. Sebaliknya, ketinggian martabat manusia ini terletak kepada kemampuannya menggabungkan kejayaannya di dunia dan akhirat.

Apabila bercakap mengenai mencapai kejayaan, elok juga menyingkap kejayaan umat terdahulu. Dalam hal ini, kejayaan dalam bidang ilmu pengetahuan menjadi ukurannya. Umat Islam terdahulu bersungguh-sungguh mencari ilmu hinggakan mereka dapat menguasai pelbagai bidang ilmu.

Ada ramai ilmuwan Islam dan salah seorangnya adalah Ibnu Sina. Beliau ialah pakar dalam bidang perubatan dan menulis buku bertajuk 'Al-Qanu Fit-Tib' yang masih lagi menjadi rujukan di universiti seluruh dunia. Bukan itu saja, beliau menguasai bidang ilmu yang lain seperti astronomi, fizik, kimia dan matematik.

Tidak ketinggalan juga al-Biruni yang pakar dalam bidang astronomi, matematik, fizik, perubatan, geologi dan sejarah. Beliau juga menguasai banyak bahasa seperti bahasa Yunani, Ibrani dan Sanskrit. Al-Biruni ialah orang pertama yang menerangkan fenomena gerhana dan yang pertama mengetahui bahawa bunga mempunyai tiga, empat, lima, enam dan lapan belas kelopak, tetapi tidak pernah tujuh atau sembilan kelopak.

Penemuan dan ciptaan ilmuwan Islam ini sebenarnya menjadi asas kepada kejayaan bidang ilmu di Barat. Sayangnya, umat Islam kini hanya tumpang berbangga dengan kejayaan ilmuwan Islam terdahulu, tetapi belum berdaya untuk mencapai kejayaan setaraf.

Menyedari kelemahan sendiri adalah titik permulaan sebuah kejayaan, namun hal ini tidak boleh berhenti di situ. Kita perlu memikirkan bagaimana hendak melonjakkan kedudukan umat Islam agar setaraf atau mungkin lebih baik daripada bangsa dan agama lain.

Persaingan dunia kini menuntut kita mempunyai sikap 'mahukan lebih'. Kita mahu mendapat lebih banyak ilmu daripada orang lain, kita mahukan kekukuhan ekonomi yang lebih daripada negara lain. Kita juga mahukan suara kita kuat dan didengari lebih berbanding negara lain. Pendek kata kita 'mahukan lebih' dalam semua perkara.

Sikap ini mungkin membuatkan kita tamak. Namun, apalah salahnya menjadi tamak, asalkan kita berada pada landasan yang betul dan tidak menyalahi Islam itu sendiri. Hal ini bermaksud, ketamakan itu tidak akan membuat kita menindas orang lain. Ia juga tidak akan menjadikan kita melakukan perkara bertentangan Islam.

Sikap 'mahukan lebih' ini akan membawa kesan yang baik dengan syarat kita mahukan kebaikan yang lebih banyak untuk diri/negara sendiri. Pada masa sama berusaha untuk menjayakan ummah Islam. Misalnya, kita 'gila' mencari ilmu, berusaha mengukuhkan taraf hidup dan mencipta kecemerlangan diri. Namun, pada masa sama berusaha meningkatkan kedudukan ummah dengan saling membantu antara satu sama lain.

Penting untuk sentiasa mengingati bahawa hubungan individu-ummah adalah hubungan timbal-balik. Oleh itu, berjayanya seseorang bergantung kepada ummah yang kuat dan begitu sebaliknya.

Umat Islam adalah umat terbaik seperti disebutkan dalam ayat 110, surah Ali Imran bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad SAW) ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..."

Dengan itu, marilah kita sama-sama berusaha dan membuktikan bahawa sememangnya kita adalah umat terbaik.

No comments:

Post a Comment